Masjid adalah sebuah bangunan yang dikhaskan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dan ia merupakan tempat yang mulia dan suci dalam Islam.
Selain dari menjadi lambang kepada syiar Islam, masjid juga sebagai pusat bagi mengembangkan ajaran-ajaran Islam, pusat perhimpunan yang menyatupadukan umat Islam kerana di dalamnya umat Islam dapat beribadat dengan lebih khusyuk dan tawaduk, dapat mengerjakan sembahyang berjemaah, memperolehi ilmu pengetahuan dan dapat menerima nasihat dan pengajaran demi untuk kebaikan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat.
Justeru itulah usaha yang mula-mula sekali dibuat oleh Rasulullah s.a.w. semasa baginda berhijrah ke Madinah al-Munawwarah, ialah mendirikan masjid Quba', iaitu sebuah masjid yang disifatkan oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai masjid yang didirikan atas dasar takwa.
Firman Allah,
Ertinya, sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa semenjak mula-mula dibina adalah lebih patut engkau mendirikan sembahyang di dalamnya. Di dalam masjid itu terdapat beberapa orang lelaki yang suka supaya dirinya bersih, sedang Allah kasih kepada orang yang bersih.
Firmannya lagi,
Ertinya, manakah yang lebih baik, orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya atas takwa kepada Allah dan keredhaannya, atau orang yang mendasarkan pembinaan masjidnya di atas tepi jurang yang runtuh sehingga ia jatuh bersama-samanya dalam neraka jahanam ? sedang Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.
Kemudian tidak lama selepas Rasulullah menetap di Madinah baginda mendirikan sebuah .lagi masjid di bandar Madinah yang lebih terkenal dengan Masjid an Nabawi yang juga disifatkan oleh baginda sebagai "masjid yang telah dibina atas dasar takwa". Sebagaimana diterangkan oleh baginda di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dalam "Syarhu Jamiu At-Tarmizi."
Memandangkan kepada pentingnya pembinaan masjid dalam perkembangan agama Islam Rasulullah telah menggalakkan umatnya supaya mendirikan masjid di mana sahaja mereka berkampung, sebagaimana yang diterangkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah Radiallahu Anha, katanya ;
Etinya ;Rasulullah s.a.w. telah menyuruh umatnya mendirikan masjid di tempat-tempat perkampungan dan hendaklah sentiasa dibersihkan dan diharumkan
( Ahmad dan Abu daud dan Al-Tarmizi )
Dalam hadis yang lain pula Rasulullah telah menerangkan kelebihan orang yang mendirikan masjid atau balasan yang akan didapati oleh orang-orang yang mendermakan hartanya untuk mendirikan masjid seperti tersebut di dalam sebuah hadis :
Dari Usman Radiallahu Anhu katanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda
Ertinya: "barangsiapa membina sebuah masjid semata-mata ikhlas kerana Allah Taala nescaya Allah taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di syurga."
Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan hadis tersebut jelaslah bahawa seseorang yang hendak membuat amal jariah mendirikan masjid atau mengeluarkan harta sebagai derma mendirikan masjid mestilah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dicontohkan oleh nabi Muhammad s.a.w.. Seterusnya elakkan diri dari mengandungi niat atau tujuan yang kotor yang tidak diredhai oleh Allah.
Sebagaimana firmannya ;
Ertinya ;Di antara mereka terdapat juga orang-orang yang mendirikan masjid untuk mendatangkan mudarat dan kufur, dan mencerai beraikan antara orang-orang yang beriman dan sebagai pengintip kepada orang-orang yang memerangi Allah dan Rasulnya semasa dahulu serta mereka bersumpah dengan katanya, "Tiadalah kami bermaksud untuk memperbuat masjid ini melainkan semata-mata kebaikan " sedang Allah mengetahui bahawa mereka orang yang bohong.
Surah At-Taubah ayat 107
TAUBAT
Seorang hakim ditanya: Apakah ada tanda bahawa taubat itu telah diterima? Jawabnya : Ya, ada 4 tanda atau alamatnya iaitu:
1. Putus hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bersahabat dengan orag-orang soleh 2. Menghentikan semua maksiat dan rajin melakukan ketaatan. 3. Hilang rasa kesenangan kepada dunia pada hatinya dan selalu ingat akan kesusahan akhirat 4. Percaya kepada jaminan Allah dalam urusan rezekinya lalu menyibukkan diri menunaikan perintah Allah
Maka bila terdapat semua sifat itu maka dia termasuk dalam ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah kasih pada orang yang bertaubat dan kasih pada yang suka bersuci".
Kemudian dia berhak memperolehi daripada orang lain 4 perkara iaitu:
1. Mereka cinta kepadanya kerana Allah telah cinta kepadanya 2. Mereka akan memeliharanya dan selalu mendoakannya 3. Mereka lupa terhadap dosa-dosanya yang telah lalu 4. Mereka selalu membantu dan mendekatinya
Manakala Allah akan memuliakannya dengan 4 perkara:
1. Melepaskannya dari dosa sehingga seolah-olah dia tidak pernah berdosa 2. Dia dicintai oleh Allah 3. Dia dipelihara dari gangguan syaitan. 4. Dia diamankan dari rasa takut sebelum keluar daripada dunia ini
PEDOMAN
Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada enam perkara iaitu:
1. Bila bertemu, berilah salam 2. Bila diundang (ke majlis yang tiada perkara maksiat), maka hadirlah 3. Bila diminta nasihat, maka berilah nasihat 4. Apabila sakit, ziarahilah 5. Apabila meninggal dunia, hantarkanlah jenazahnya hingga ke kubur 6. Apabila bersin (lalu menyebut 'Alhamdulillah'), maka doakanlah ia (dengan menyebut 'Yarhamkallah')
CARA MENGHORMATI MASJID
Setiap orang Islam yang mendampingi rumah-rumah Allah ( masjid ) hendaklah menjaga kehormatan dan kesuciannya sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad di dalam sabdanya ;
Ertinya ;
"Apabila seseorang dari kamu masuk ke masjid maka janganlah terus duduk sehingga ia mengerjakan dua rakaat ( tahiyatul masjid )
Ertinya ;
"Dari Abi Qatadah radiallahu Anhu bahawa Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam telah bersabda, "Apabila seseorang dari kalangan kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang dua rakaat ( tahiyatulk masjid ) sebelum ia duduk
Ertinya ;
Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu berkata, Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda "Dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah ( masjid ) dari rumah Allah sedang mereka membaca kitab Allah serta mereka mempelajari kandungan isinya, melainkan mereka dilingkungi oleh para malaikat ( pembawa rahmat ) dan turun mereka semangat tenang dan tenteram serta mereka diliputi oleh limpahan rahmat. Dan juga mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan ( malaikat-malaikat ) yang ada di sisinya".
Mengenai orang-orang perempuan yang mengunjungi ke masjid, Abu Hurairah radiallahu Anhu berkata,
Rasulullah s.a.w. telah bersabda "Janganlah kamu melarang perempuan hamba Allah pergi ke masjid-masjid Allah dan hendaklah mereka keluar ( dari rumah mereka ) dengan memakai pakaian yang sederhana dan tidak pula memakai bau-bauan.
Walaupun orang-orang perempuan tidak dilarang mengunjungi masjid-masjid Allah dengan syarat mereka memakai pakaian yang sopan dan tidak memakai bau-bauan tetapi dalam sebuah hadis yang lain ( riwayat Imam Ahmad dan Al tabrani ) bahawa semasa baginda menjawab pertanyaan Ummu Humaid baginda bersabda ;
"Dan ( sebagai seorang perempuan maka ) sembahyangmu dalam bilikmu lebih baik bagimu daripada sembahyangmu di masjid-masjid kampungmu ".
BERIKTIKAF DI MASJID
Di antara amal-amal baik bagi memakmurkan masjid ialah beriktikaf di dalamnya. Beriktikaf di masjid ertinya duduk di masjid dalam suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala Dalam masa beriktikaf itu hendaklah diisi dengan mengerjakan sembahyang sunat, membaca A--Quran, berzikir ( tasbih, tahmid dan tahlil ), beristighfar, berselawat atas Nabi s.a.w., berdoa dan lain-lain lagi dari amal-amal bakti yang mendampingkan diri seseorang makhluk kepada Allah s.w.t. yang telah menciptanya dan mencipta sekalian alam serta mentadbirkannya.
Amalan beriktikaf itu telah disyariatkan oleh Allah Taala semenjak zaman nabi-nabi yang telah lalu sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Quran
Ertinya ;
Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah ( Kaabah ) sebagai tempat manusia berulang alik ( tempat berziarah ) dengan aman dan sentosa. Sebab itu ambillah ( jadikanlah ) olehmu akan makam nabi Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan ismail supaya kedua-duanya membersihkan rumahku ( kaabah ) untuk orang-orang yang tawaf dan untuk orang-orang yang iktikaf, juga untuk orang-orang yang ruku dan sujud ( surah Al-Baqarah : 125 )
Hukum beriktikaf di masjid ialah Sunat Muakkad pada tiap-tiap waktu dan lebih afdhal lagi pada 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan untuk menunggu malam lailatul Qadar, tetapi jika seseorang itu bernazar untuk beriktikaf di masjid dalam satu-satu masa yang tertentu maka hukumnya adalah wajib.
Siti Aishah Radiallahu Anha ada berkata ,
Ertinya ,
Adalah Nabi Muhammad s.a.w. apabila hendak beriktikaf, baginda sembahyang subuh ( pada waktu fajar ) kemudian baginda masuk beriktikaf di tempatnya yang khas di dalam masjid. Diterangkan lagi dalam sebuah hadis yang lain ;
Ertinya ;
Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. biasanya beriktikaf pada 10 hari yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga diwafatkan oleh Allah azawajalla, kemudian ( amalan iktikaf itu ) diteruskan oleh isteri-isteri baginda sesudah itu.