Masjid Al Mardhiyah pada asalnya adalah Surau Al-Mardhiyah, dan dinaik tarafkan kepada masjid pada tahun 2009. Masjid ini terletak di Jalan Taman Melawati, Fasa 5, Taman Melawati, Ulu Klang, 53100 Kuala Lumpur .
Sejarahnya bermula pada tahun 1982, bertapak di sebuah rumah di F14. Pada tahun 1983, ianya berpindah di tempat sekarang.
Pada tahun 1997, bermula perancangan untuk menubuhkan satu bangunan baru untuk surau ini yang lebih besar dan cantik. Kutipan untuk perbelanjaan dibuat dengan melantik beberapa orang ahli-ahli kariah untuk tujuan itu.
Tahun 2002, bermulalah pembinaan surau ini. Para jemaah pada waktu itu, bersembahyang di sebuah surau sementara yang di bina bersebelahan dengan tapak projek. Projek tersebut telah siap pada tahun 2003 dengan kos pembinaan sebanyak RM 1,070,000.00, semuanya hasil dari kutipan derma orang ramai. Struktur asas bangunan dibina menggunakan kerangka besi keluli dan dilengkapi dengan kemasan batu-bata, lepaan dan kemasan plaster glass.
Surau Al-Mardhiyah ini telah dinaikan taraf kepada masjid pada tahun 2010. Dan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat adalah bermula pada tahun 2009.
Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Mardhiyah sebelum ini termasuklah Hj Ismail, Hj Mokhtar,Allahyarham Hj Maamor, Allahyarham Hj Zokri Daud dan Dato’ Hj Mohammadiah Moner Jazuli.
Kini keluasan bangunan masjid adalah 1980 meter persegi, dan keluasan dewan solat utama adalah 483 meter persegi. Ia terdiri dari satu menara ketinggian 26 meter. Kubah bewarna kuning, berkonsepkan kubah Masjidul Aqsa, bersaiz garis pusat 6.4 meter. Keluasan tanah masjid hanya 0.9 hektar. Boleh menampung seramai 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, seluruh kawasan masjid di kelilingi sebahagiannya oleh pagar yang berhias. Mengambil masa selama 2 tahun untuk disiapkan, ia dikendalikan sendiri oleh Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Mardhiyah ini. Surau-surau dan musolla yang diletakkan di bawah jagaan masjid ini adalah Surau At Tarbiyah Jalan I1, Madrasatul Solahiah Jalan F1 dan Musolla Nadayu, 62.
Kawasan-kawasan yang di bawah masjid ini termasuklah Jalan F1 – F16, Jalan H1 – H17, Jalan N1 – N9, Jalan P1 – P5, Jalan M4, Jalan E1 – E10, Jalan I1 – I10, Jalan G2, G3, Apartment Hillside dan Kampung Warisan Ampangan Klang Gate.